LA GRANDE MOTTE, Perancis - Juara tujuh kali Lance Armstrong membuktikan dia masih berpeluang memenangi Tour de France apabila naik ke tangga ketiga keseluruhan selepas tamat saingan peringkat ketiga kelmarin.
Pelumba Britain, Mark Cavendish memenangi peringkat tersebut selepas mengharungi perlumbaan sejauh 196.5 kilometer dari Marseille ke La Grande Motte.
Namun, kemenangan bermakna dicatatkan oleh Armstrong, iaitu satu-satunya pelumba pilihan gagal dipintas oleh pasukan Colombia yang meninggalkan kelompok besar pelumba.
Pelumba Switzerland, Fabian Cancellara dari pasukan Saxo Bank mengekalkan jersi kuning sebagai pendahulu keseluruhan apabila menamatkan perlumbaan di depan pelumba Jerman, Tony Martin dan pelumba Amerika Syarikat itu, dengan masing-masing 33 dan 40 saat di belakang.
Pelumba pilihan Alberto Contador, yang terperangkap dalam kelompok besar pelumba selepas pasukan Columbia berpecah dari peloton, jatuh ke tempat keempat keseluruhan.
Contador dinamakan sebagai pelumba utama pasukan Astana di depan Armstrong, ketinggalan 19 saat di belakang pelumba kelahiran Texas berusia 37 tahun itu.
''Saya kurang senang dengan teori bahawa hanya ada satu sahaja pelumba utama dalam pasukan.
''Saya memenangi tujuh Tour de France, jadi saya juga harus diambil kira,'' kata Armstrong.
Peloton mula berpecah 40km dari garisan penamat selepas henjutan mengejut oleh pelumba pasukan Columbia, tindakan yang mengejutkan hampir keseluruhan pelumba pilihan.
''Ia hebat, ia merupakan usaha terbaik pasukan ini sejak saya mengambil bahagian 10 tahun sebagai pelumba profesional,'' kata pelumba Australia, Michael Rogers.
Pelumba Astana, Levi Leipheimer juga terperangkap dalam kelompok besar pelumba.
''Saya tidak pernah menyaksikan kumpulan besar pelumba berpecah secara tiba-tiba,'' kata Leipheimer.
Di kalangan pelumba pilihan, hanya Armstrong yang kembali beraksi selepas tiga tahun setengah bersara, berada di kelompok depan daripada 25 pelumba yang berjaya dikejar oleh peloton.
Cavendish, pemenang pada Ahad lalu, menjadi pelumba pertama yang melintas garisan penamat di depan pelumba Norway, Thor Hushovd manakala pelumba Perancis, Cyril Lemoine ketiga. - Reuter
Sumber dari Utusan
FCUBOOK
Gudang ilmu untuk semua
ARMSTRONG BANGKIT BERI TENTANGAN
Dean, Tuesday, July 7, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Comments :
Post a Comment