-->

Dua lagi kes jangkitan H1N1

PUTRAJAYA 10 Jun - Dua lagi kes jangkitan virus influenza A (H1N1) disahkan di negara ini, menjadikan sejumlah sembilan kes dikesan sejak 15 Mei lalu.

Serentak itu, Kementerian Kesihatan kini sedang mengesan penumpang dari tiga pesawat, penumpang sebuah bas persiaran dan kakitangan Hotel Holiday Inn Pulau Pinang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Mohd. Ismail Merican berkata, dua kes terbaru itu membabitkan seorang wanita Amerika Syarikat di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban dan seorang warganegara New Zealand di Hospital Pulau Pinang.

Menurutnya, pesakit H1N1 kelapan telah menaiki penerbangan MH091 (tempat duduk 18G) dari Newark yang mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 6.30 pagi, 8 Jun lalu.

''Pesakit kelapan H1N1 ini merupakan pelajar berumur 17 tahun yang melawat Malaysia bersama ibu dan bapanya. Dia dikesan mempunyai suhu badan yang tinggi oleh mesin pengimbas di KLIA.

''Pesakit ini seterusnya dirujuk ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban pada pukul 10.51 pagi dan siasatan mendapati dia mengalami demam selama 10 hari dan disahkan positif H1N1," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Kejadian Influenza di sini hari ini.

Mohd. Ismail berkata, pesakit kesembilan H1N1 pula merupakan warganegara New Zealand yang menaiki pesawat AirAsia DX7 2723 (tempat duduk 29D) dari Melbourne yang mendarat di Kuala Lumpur pada pukul 7.30 pagi, 5 Jun lalu.

''Pesakit ini sebenarnya telah berkongsi pesawat yang sama dengan pesakit ketujuh H1N1 di negara ini. Pesakit ketujuh duduk di kerusi 31A manakala pesakit kesembilan di 29D.

''Selepas tiba di Kuala Lumpur, pesakit ini meneruskan perjalanan ke Pulau Pinang melalui penerbangan MH1138 yang mendarat di Pulau Pinang pada pukul 10.15 pagi," katanya.

Beliau berkata, pesakit tersebut telah berinteraksi dengan ramai orang kerana menaiki teksi ke Hotel Holiday Inn di Pulau Pinang, berjumpa dengan kawan serta melancong di Pulau Pinang menggunakan bas persiaran.

''Pesakit ini dikuarantin di hotel sejak 7 Jun lalu kerana pernah berinteraksi dengan pesakit ketujuh. Beliau kemudiannya dihantar ke Hospital Pulau Pinang sehari kemudian dan akhirnya disahkan dijangkiti H1N1," katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Ismail sekali lagi mengingatkan pelajar Malaysia dari Eropah dan Amerika Syarikat supaya menangguhkan perjalanan mereka untuk pulang ke tanah air sekiranya mereka mengalami tanda-tanda demam.

''Memandangkan ketika ini telah memasuki musim panas di Amerika Syarikat dan Eropah, ramai pelajar daripada negara berkenaan dijangka akan bercuti di negara ini.

''Saya nasihatkan mereka supaya menangguhkan perjalanan sekiranya mengalami tanda-tanda influenza," katanya.

Sumber dari Utusan Malaysia.


FCUBOOK
Gudang ilmu untuk semua

Comments :

0 comments to “Dua lagi kes jangkitan H1N1”

Post a Comment