-->

Usah sering letak kaki atas pedal

KENDERAAN transmisi manual masih diminati walaupun kebanyakan pengeluar kenderaan mengutamakan pengeluaran transmisi automatik.

Walaupun ada setengah kenderaan transmisi automatik dilengkapi mod manual seperti triptronic, jentera manual yang masih menggunakan pedal klac kaki tetap menjadi pilihan terutama golongan muda.


Penjagaan klac perlu diambil berat memandangkan ia berfungsi menukar gear dan jika rosak, mungkin kenderaan itu gagal digerakkan.

Selain itu, kehausan plet klac menyebabkan kenderaan secara tiba-tiba tidak mampu mendaki cerun, seperti kehilangan kuasa pecut malah ia gagal bergerak di jalan mendatar walaupun pedal minyak ditekan rapat.

Kemungkinan besar keadaan itu berlaku disebabkan kehausan cakera klac kerana klac adalah salah satu komponen penting kereta manual yang berfungsi menyalurkan kuasa yang dikeluarkan dari enjin ke tayar untuk menggerakkan kereta.

Klac juga berfungsi melepaskan enjin daripada kotak gear bagi membolehkan pemandu menukar kedudukan gear.

Klac terdiri daripada dua cakera geseran ditekan kepada blok utama enjin (flywheel) oleh spring yang kuat.

Jika cakera terbabit haus, kuasa yang dikeluarkan enjin tidak dapat disalurkan kepada tayar dan kereta tidak boleh bergerak.

Pedal klac di ruang pemandu ke enjin disambungkan sama ada menggunakan kabel atau sistem hidraulik.

Kehausan cakera klac mudah dikesan apabila kenderaan kekurangan kuasa pecut atau tidak mati ketika berada dalam kedudukan gear sebenar, ia menunjukkan cakera klac mengalami kehausan teruk.

Kehausan cakera klac juga menyebabkan kesukaran untuk menukar kedudukan gear.

Jika tidak mempunyai pengetahuan mengenai penyelenggaraan gear dan klac, jangan buat sendiri sebaliknya minta bantuan mekanik.

Pemanduan biasa membolehkan cakera klac bertahan sehingga tiga tahun, tetapi ia bergantung kepada cara memandu.

Jika pemandu itu sering meletak kaki di atas pedal klac, cakera klac akan lebih cepat haus.

Selain itu, pemanduan dalam kesesakan lalu lintas yang kerap dan selalu menukar kedudukan gear akan mempercepatkan kehausan cakera klac.

Anda boleh mengurangkan kadar kehausan cakera klac itu dengan memastikan kadar lega pedal klac sekurang-kurangnya satu inci (bagi sistem kabel).

Anda boleh menyelarasnya dengan memusing penyelaras kabel klac yang terletak di dalam bahagian enjin (lihat gambar).

Bagi sistem hidraulik, biasanya ia diselaraskan secara automatik tetapi anda perlu memastikan cecair hidraulik sentiasa mencukupi.

Bagi mengurangkan kerosakan klac, pemandu dinasihati supaya mengangkat kaki dari pedal klac selepas menukar gear dan jangan sekali-kali mengamalkan tabiat merehatkan kaki di atas pedal terutama ketika pemanduan jarak jauh.

Amalan itu menyebabkan klac cepat haus terutama bagi klac hidraulik.

Ketika berhenti di lampu isyarat merah, tukar gear kepada kedudukan neutral dan alihkan kaki anda daripada klac.

Harus diingatkan, jika kereta berhenti dengan gear berfungsi, klac akan haus kerana kaki anda memijak pedal klac.

Sebaiknya masukkan gear apabila lampu hijau menyala dan jangan pedulikan bunyi hon kenderaan di belakang.

Sumber dari myMetro



FCUBOOK
Gudang ilmu untuk semua

Comments :

0 comments to “Usah sering letak kaki atas pedal”

Post a Comment